Friday 20 March 2015

Kumpulan Bloodshed

Kumpulan Bloodshed merupakan sebuah kumpulan penyanyi rock 80-an yang telah diasaskan pada tahun 1985 di Malaysia. Mereka berasal dari Kajang, Selangor.Kumpulan Bloodshed banyak menyertai pertandingan "Battle of the Bands" pada tahun 1986 dan seterusnya. Mereka antara kumpulan rock pelopor "Battle of The Bands" di Malaysia bersama-sama kumpulan SYJ, Ella and The Boys, Lefthanded dan Rahim Maarof & Whitesteel. Susulan itu mereka berjaya mengikat kontrak dengan EMI Records. Album pertama mereka berjudul "Illusi Sebuah Mimpi" terbitan M Sharif diterbitkan pada tahun 1987 dengan tema lagu-lagu berentak heavy metal.Kesinambungan kejayaan Bloodshed diteruskan pada tahun 1988 menerusi album yang kedua diterbitkan oleh M Nasir dengan judul "Samarkand". Album ini memuatkan lagu berhantu "Srikandi Cintaku" ciptaan M. Nasir dan lirik oleh Nasir Jani dan berjaya menduduki takhta Lagu Pujaan 10 Nescafe selama beberapa minggu.Setelah penerbitan album tersebut, Rosdan Baharom, iaitu penyanyi Bloodshed, berhasrat melangkah ke irama yang lebih keras lagi dan menubuhkan Kumpulan Punisher, yakni satu pancaragam thrash metal bawah tanah Malaysia.



Selepas itu Kumpulan Bloodshed menghadapi masalah mencari pengganti Rosdan sehinggalah pada tahun 1989, mereka berjaya mendapatkan Mohd Farid Ali sebagai penyanyi baru dan mereka menukar nama kumpulan kepada Kumpulan Blackshed. Selepas itu, Kumpulan Blackshed menerbitkan album terakhir mereka yang bertajuk "Villa Misteri" bersama vokalis baru yang suara seiras suara Rosdan. Lagu popular Blackshed adalah lagu "Menggenggam Bara" juga ciptaan M Nasir dan liriknya ditulis oleh Bob. Sepanjang penglibatan Bloodshed dalam industri muzik tanah air, mereka sering menggunakan karya ciptaan mereka sendiri. Mereka juga sering menggunakan khidmat M. Nasir, Man Boron, Usop, Siso dan juga Abdul Ghaffar Ibrahim (AGI).

http://ms.wikipedia.org/wiki/Kumpulan_Bloodshed

1 comment: